Esok, 23 hb. Februari, 2008, kita akan meraikan Ulangtahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-24. Kita sudah menjangkau usia 24 tahun menghidu udara kemerdekaan di negara kita yang tercinta - suatu jangka masa yang membuat kita cukup dewasa untuk berdikari dan menentukan halatuju kita untuk mendepani arus kehidupan di masa muka.
Tunas Bangsa, demikian bunyi tema Hari Kebangsaan kita tahun ini. Ia mempunyai pengertian yang cukup jelas. Generasi muda dan kaum belia warga Brunei Darussalam hari ini merupakan aset dan tunjang kepada kekukuhan dan penjanaan pertumbuhan atau kemajuan bangsa Brunei di masa mendatang. Kemajuan dan pertumbuhan bangsa perlu dipupuk dan diasuh atas asas-asas yang kukuh bersandarkan kepada jatidiri atau identiti bangsa Brunei yang unik dan unggul. Ciri-ciri "KeBruneian" inilah yang patut kita pertahankan kerana sejak kurun yang ke-15 lagi negara kita yang kecil molek ini sudah menjadi negara yang gemilang dan terbilang.
Mendepani arus globalisasi, kita perlu mempunyai minda yang terbuka dan perlu bersikap progresif, inovatif dan kreatif. Disamping mempertahankan jati diri bangsa yang unik, kita perlu membina masyarakat yang berasaskan 'pengetahuan' (knowledge-based society) kerana hanya masyarakat yang berilmu sahaja dapat menyongsong tatanan baru dunia yang serba kompleks dan mengelirukan sifatnya ini.
SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARAKU TERCINTA - SEMOGA MASA DEPANMU CERAH DAN MERIAH SERTA MENDAPAT PERLINDUNGAN DARIPADA ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA.
- Bapa/Pamit/Puda -
No comments:
Post a Comment